Thursday, July 27, 2006

Peladang Dengan Tiga Orang Anaknya

Pada zaman dahulu ada seorang peladang yang mempunyai tiga orang anak lelaki. Peladang itu amat kecewa dengan sikap ketiga-tiga anaknya itu kerana mereka sungguh malas. Mereka tidak pernah membantu ayah mereka melakukan kerja-kerja di ladang.

“ Bagaimanakah agaknya aku hendak menyuruh anak-anak aku mengerjakan ladang itu? “ fikir peladang itu seorang diri.

“ Aku semakin tua dan rasanya tidak terdaya lagi aku hendak melakukan kerja-kerja di ladang,” keluh peladang lagi.

Saban hari peladang itu memikirkan bagaimana hendak memujuk anak-anaknya itu. Suatu hari, peladang itu jatuh sakit dan berasa saat kematiannya telah pun tiba. Dia memanggil ketiga-tiga anaknya itu.

Dengarlah anak-anakku, di ladang kita ada ayah tanamkan harta di tiga tempat. Setiap seorang daripada kamu ambillah suatu tempat. Sayangnya ayah sudah lupa di sebelah manakah ayah menanam harta-harta itu. Kamu galilah di serata kawasan itu, nescaya kamu akan menemui harta-harta itu,” kata peladang itu kepada anak-anaknya.

Ketiga-tiga anak peladang itu berasa amat gembira. Mereka ingin sekali menjadi kaya. Mereka mula berangan-angan akan harta yang bakal mereka warisi kelak.

“ Aku ingin membeli rumah yang besar dan indah,” kata anak sulung.

“ Sudah lama aku menyimpan hajat untuk membeli kapal yang besar untuk belayar ke merata dunia. Nescaya, tercapai juga hajat aku itu,” kata anak kedua dengan penuh kegirangan.

“ Hmmm... aku akan menghadap Raja dengan harta aku dan minta dikahwinkan dengan tuan puteri,” jelas anak bungsu pula.

Tidak berapa lama kemudian, peladang itu pun meninggal dunia. Ketiga-tiga anaknya mula menggali di serata kawasan ladang mereka. Mereka tidak sabar-sabar lagi untuk mendapatkan bahagian masing-masing.

Kegembiraan ketiga-tiga anak peladang itu hanya sementara. Setelah habis kawasan digali, mereka tidak juga jumpa harta-harta yang dicari. Mereka berasa amat kecewa. Badan mereka terasa amat penat kerana sudah beberapa hari mencangkul di ladang itu.

“ Nampaknya ayah sudah menipu kita, tak ada pun harta yang dikatakannya,” kata anak sulung.

“ Betul kata abang, entah-entah ayah cuma berbohong tak?” anak kedua menjawab.

“ Apa kita hendak buat dengan ladang ini? Semak-samun telah kita bersihkan, tanah sudah kita cangkul tetapi hasilnya tak ada,” tanya anak bongsu.

Ketiga-tiga anak peladang itu berfikir untuk seketika.

“ Apa kata kita tanam pelbagai sayur-sayuran dan jagung," cadang anak sulung.

Mereka bersetuju dan mula bercucuk tanam di ladang itu. Mereka menanam kacang, terung, sawi, cili dan jagung. Tanaman mereka hidup subur. Tidak berapa lama kemudian, ladang mereka mengeluarkan hasil. Mereka mendapat wang yang banyak setelah hasil ladang dijual. Ketiga-tiga adik-beradik itu mula melupakan harta-harta yang dikatakan oleh ayah mereka dahulu.

“ Saya fikir wasiat ayah tentang harta itu adalah suatu muslihat. Arwah ayah mahu kita bekerja di ladang. Lihatlah sekarang hasil yang kita peroleh. Tindakan ayah sungguh bijak,” kata nak bungsu.

“ Memang benar. Ayah memang mahu kita mengerjakan ladang ini. Ini adalah harta yang tidak akan habis dan amat bernilai," kata anak sulung kepada adik-adiknya.

Semenjak hari itu, ketiga-tiga beradik itu menjadi peladang yang rajin dan berjaya. Mereka tidak jemu-jemu mengerjakan ladang yang ditinggalkan oleh arwah ayah mereka.

No comments: