Ada seekor cengkerik yang pandai bernyanyi. Ia akan bernyanyi dari matahari terbenam hinggalah terbit matahari esoknya. Apabila matahari terbit, cengkerik akan tidur sepanjang hari. Apabila lapar, barulah dia keluar mencari makan. Selepas itu, ia akan menyambung tidurnya.
Pada suatu hari, cengkerik terbangun daripada tidur. Ia terlihat sekumpulan semut sedang sibuk mengheret makanan ke tempat tinggal mereka.
“ Tidakkah kamu tahu macam mana nak berehat?” tanya cengkerik.
“Berehat? “ tanya seekor semut pula.
“ Aku lihat kamu semua bekerja siang dan malam tanpa rehat. Lihat aku, setelah penat bernyanyi pada malam hari, aku akan berehat pada waktu siang,” kata cengkerik.
“Habis macam mana kamu makan?” tanya semut lagi.
“ Aku makan sajalah apa yang ada. Buat apa bertungkus-lumus memerah tenaga? Bukankah lebih enak bersenang-senang?” jawab cengkerik.
“ Kami bekerja keras untuk masa depan kami. Manalah tahu, mungkin kita akan dilanda kesusahan,” kata semut.
“Ah, karut! Pendapat kamu itu memang bodoh. Tak mungkin kita akan ditimpa kesusahan!” jawab cengkerik dengan bongkaknya.
Tidak lama kemudian, musim kemarau melanda hutan. Pucuk-pucuk daun yang menjadi makanan cengkerik menjadi layu. Cengkerik berasa amat dahaga dan lapar. Badannya semakin lemah. Ia tidak berdaya melompat untuk mencari makanan. Ia juga tidak berdaya untuk bernyanyi lagi. Akhirnya ia terlantar lesu dekat tempat kediaman semut. Cengkerik merayu semut membantunya.
“Bagaimana kami hendak membantumu, cengkerik. Makanan yang kami simpan semuanya busuk-busuk belaka. Kamu hanya makan makanan yang baru dan segar,” kata semut.
“Kalau begitu, tak mengapalah. Bawalah aku masuk ke rumahmu. Aku perlu berlindung daripada cuaca yang sangat panas ini,” rayu cengkerik lagi.
“ Macam mana kami hendak bawa kamu? Lubang masuk ke rumah kami sangat kecil. Kalau hendak bawa kamu masuk, kami terpaksa tanggalkan kaki dan tangan kamu yang panjang itu,” kata semut.
“ Buat apalah yang kamu suka,” kata cengkerik.
Semut pun memanggil rakan-rakannya. Mereka menanggalkan kaki dan tangan cengkerik satu-persatu. Mereka pun menarik cengkerik ke dalam rumah mereka. Tidak lama kemudian, cengkerik itu pun mati. Itulah akibat tidak mahu membuat persediaan untuk waktu kesusahan.
No comments:
Post a Comment